Bab 5: Amran
Amran adalah anak tunggal seorang ahli korporat. Ibunya berbangsa cina, ayahnya berasal dari Kelantan. Ibu Amran
adalah isteri kedua kepada Dato’ Majid. Dengan isteri pertama, Dato’ Majid
mempunyai dua orang anak. Amran kurang mengenali ayahnya. Dato’ Majid selalu
sahaja tiada di rumah, mungkin seminggu sehari dua, kemudian dia akan balik ke
Kota Bahru untuk bersama keluarga isteri tuanya.
Ibu Amran bekerja sebagai pramugari Malaysia Airlines
(MAS) yang telah menambat hati En. Majid, seorang bekas jurutera Tenaga
Nasional Bhd yang ketika itu telah mula menjalankan perniagaan sendiri, mengambil
kerja-kerja kontrak pembinaan kecil-kecilan dari TNB.
Kali pertama Majid dan ibu Amran bertemu adalah ketika
Majid dalam perjalanan pulang dari Kota Kinabalu, Sabah. TNB telah memulakan
kerja-kerja naiktaraf beberapa stesyen janakuasa di sekitar Kota Kinabalu dan
Sandakan, dan Majid telah berjaya mendapat subkontrak untuk pembinaan stesyen
pencawang. Majid ketika itu sudah pun mempunyai seorang isteri dan dua orang
anak, anak lelaki berumur 12, dan anak perempuan berumur 10 tahun. Dia sangat
sayang akan isterinya, Wan Jamilah Wan Cik, dan anak-anaknya, Ahmad Jamal dan
Wan Aishah. Tapi, takdir menentukan hampir setiap kali dia menaiki pesawat
untuk pergi dan balik dari Kota Kinabalu, dia terserempak dengan pramugari Tan
Chen Moi yang sungguh manis senyumannya. Ketika dalam salah satu perjalanan
pulang, Majid memberanikan diri untuk pergi ke belakang kapalterbang untuk
bertegur sapa dan berkenalan dengan Chen Moi sedang dia menyediakan minuman
untuk penumpang. Dan, tercetuslah bibit-bibit cinta antara mereka berdua.
Majid begitu licik (mesti pandai temberang kata
Allahyarham P. Ramlee) dalam pengaturan kehidupan berpoligami, sehinggakan
hanya selepas lima tahun berkahwin dengan pramugari berbangsa Cina itu, barulah
terpecah rahsia, bila dia terserempak dengan sepupu isteri tuanya ketika sedang
mendaftarkan Mohammad Amran di sebuah Tadika di Kuala Lumpur. Isteri tuanya telah
datang ke Kuala Lumpur, menyerang Tan Chen Moi, yang telah menukar namanya ke
Suraya Tan Abdullah, di condomimium yang disewa oleh Majid. Majid ketika itu
sedang bermesyuarat dengan salah seorang pengarah TNB, tiba-tiba diganggu oleh
pembantu peribadi pengarah tersebut dengan sekeping nota memaklumkan ada kecemasan
berlaku. Suraya telah menghubungi pejabat Majid dan menyuruh salah seorang pekerja
Majid menelefon pejabat Pengarah TNB dan memberi pesanan itu. Majid menelefon
rumah dan dijawab oleh Suraya, memberitahu yang ambulan baru sahaja datang
mengambil “Kak Jamilah” yang telah pitam, ke Hospital Besar Kuala Lumpur.
Majid sendiri hampir pitam bila mendengar isteri mudanya,
dengan tenang, bercerita tentang bagaimana Kak Jamilah telah datang bersama anak
lelakinya dari Kota Bharu, menerjah masuk ke kondo dan memaki hamun Suraya,
sebaik sahaja pintu dibuka.
Majid selama ini menipu Suraya mengatakan yang Jamilah
sudah memberi kebenaran dan kerelaan untuk dia berkahwin seorang lagi. Tapi,
Suraya sudah lama mengesyaki Majid tidak pernah meminta kebenaran pun dari
Jamilah bila Majid membuat beribu alasan setiap kali Suraya menyatakan hasrat
untuk bertemu dengan Jamilah.
Sebaik sahaja Jamilah masuk dan menjerit-jerit memanggil
Suraya perampas suami, dan pelacur, naluri pertama Suraya adalah untuk
melindungi Amran yang ketika itu sedang menonton rancangan katun di televisyen.
Tiada satu pun perkataan Jamilah hinggap difikirannya, kerana matanya terkunci
ke arah Amran yang terkejut dan takut dengan kebingitan suasana, kini menyorok
di belakang sofa, sambil mengintai ke arah ibunya.
Suraya tidak menghiraukan segala kata-katanya, dan tidak
langsung memandang ke arahnya, menambah kemarahan Jamilah, menyebabkan tekanan
darahnya melonjak, dan dia hilang kesedaran dan tersembam kehadapan, sempat
disambut oleh anak lelaki Jamilah, Jamal sebelum dia terhempas ke lantai.
Jamilah bukan lah seorang yang kurus. Jamal, tiba-tiba
mendapati dia dihempap ibunya. Amran tergelak. Suraya juga menahan untuk
ketawa. Jamal akhirnya dapat melepaskan diri, sambil Suraya dengan segera
menelefon 999.
Majid serba salah buat seketika, harus kah dia pulang ke
rumah untuk memastikan Suraya dan Amran sihat dan selamat, atau terus ke
Hospital. Akhirnya, dia terus ke hospital setelah dia menelefon Suraya dan berasa
lega isteri muda dan anaknya tidak diapa-apakan.
Jamilah memang pengidap kencing manis dan darah tinggi.
Tiada apa perlu dibuat oleh doktor melainkan menasihatkan Jamilah berehat dan
mengawal perasaan dan emosi. Jamilah baru sahaja mencecah umur 36 tahun, namun,
kemungkinan dari keturunan, dia telah mula dikesan pengidap diabetes pada awal
30an lagi. Bapanya telah tiada sejak umurnya 18 tahun, dan ibunya yang kini
berumur pertengan 60an, tinggal bersamanya di Kota Bharu, sesuatu yang Majid
galakkan kerana dia selalu ke Kuala Lumpur untuk hal-hal pekerjaan.
Dua hari kemudian, Jamilah dibenarkan untuk di dicaj dari hospital. Majid telah memujuk Jamilah untuk bertemu dengan Suraya untuk mencapai satu kedamaian antara kedua isteri-isterinya. Mereka bertemu di kondo Suraya. Pada awalnya, kedua-dua Jamilah dan Suraya meminta
diceraikan. Kedua-duanya mengatakan hendak berundur diri dan tidak mahu menjadi
bebanan kepada Majid. Majid yang memang pakar dalam perundingan, telah berjaya
meyakinkan yang dia menyayangi kedua-dua isterinya sama. Bukankan ini terbukti
selama ini? Apa kurangnya hidup kamu berdua? Tanya Majid. Dan, mereka
bersetuju.
Jamilah memohon maaf dari Suraya kerana memanggilnya pelacur, tetapi
menyatakan dengan jelas mereka berdua bukan saudara atau sahabat. Demo buat hal demo, aku buat hal aku... Aku
tokse nampok muko mu kat Koto Baghu. Jamilah berjanji akan mencungkil mata
Suraya kalau dia bertemu lagi.
Suraya juga sudah tawar hati dengan Majid. Namun, dia tahu
dia perlukan Majid untuk dia menyara hidup diri dan anaknya. Dia juga tidak
ingin bersua lagi dengan Jamilah. Dia tidak berkata sepatah pun semasa sessi perundingan tersebut, melainkan memohon maaf juga kepada Kak Jamilah kerana membuat dia tertekan sehingga pengsan.
"Majid, I ingat you mesti jaga itu kakak Milah.
Dia tak sihat. I boleh jaga diri sendiri. You bagi duit sahaja untuk kasi besar
you punya anak," itu terma dan syarat untuk dia terus bermadu, yang diletakan oleh Suraya, sebaik sahaja Majid pulang dari Lapangan Terbang Subang selepas menghantar Jamilah dan anaknya Jamal pulang ke Kota Bahru.
Walaupun, hatinya begitu remuk, Suraya bertekad untuk meneruskan hidup demi
Amran. Dia sedar yang sebenarnya dia sudah tiada siapa lagi di dunia ini. Sejak dia berkeras
hendak berkahwin dengan Majid, ayah dan ibunya telah membuangnya dari keluarga
mereka. Suraya ada seorang abang dan seorang adik lelaki. Abangnya juga telah
menghalau dia dan Majid ketika mereka cuba untuk menyambung silaturrahim
selepas beberapa bulan Suraya dan Majid bernikah. Kini, Suraya hanya mendapat
berita dan cerita keluarga dari adiknya, yang sedih kerana kehilangan kakak.
Demikianlah Amran membesar dibelai dan diasuh oleh
ibunya. Majid sendiri semakin sibuk mengendalikan urusan perniagaan yang
semakin maju. Banyak masa dia habis menguruskan syarikat kecil yang diberi nama Jana Power Enterprise, sehingga kini, Dato’ Abdul Majid adalah pengerusi Jana Power
Bhd, syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur, merupakan syarikat yang
tersohor dalam pembinaan janakuasa diseluruh negara dan sekitar asia tenggara
dan timur tengah.
Amran tidak dihantar ke sekolah kerajaan. Pada umur lima
tahun dia di hantar ke tadika antarabangsa, kemudian ke sekolah antarabangsa.
Kepala otaknya memang bergeliga. Cepat menangkap konsep-konsep sains dan
matematik. Guru-guru semua mengatakan Amran seorang genius. Selepas SPM, Amran
sudah mengimpikan kehidupannya diteruskan di University of Oxford di England,
bersama-sama beberapa kawan sekelasnya, terutama kawan karibnya, Albert Ainsworth, seorang
anak expatriat.
Malangnya, rancangannya tidak dipersetujui oleh ibunya.
Ini sangat memeranjatkan, Amran, kerana selama ini, Suraya hanya inginkan dan
telah memberi yang terbaik kepada Amran. Akan
tetapi, Suraya yang merasakan dia semakin tua dan lemah, menyedari yang dia
tiada sesiapa lagi di dunia ini melainkan Amran. Suaminya, Majid selain sibuk
dengan hal-ehwal perniagaan, juga terpaksa melebihkan masa untuk isteri
pertamanya Jamilah yang telah menjalani pemotongan kaki kanan akibat diabetes.
Suraya telah memaksa Amran untuk mendaftar dengan UPU
untuk kemasukan ke universiti tempatan. Pilihan pertama Amran Universiti
Teknologi Malaysia (UTM), program Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Kuasa).
Sementara menanti keputusan SPM dan penempatan di universiti, Amran hanya duduk
di rumah, menghabiskan masa bermain Playstation dari siang sampai kemalam.
Suraya tahu Amran marah, tetapi, dia belum bersedia
memberi tahu Amran mengenai kanser pangkal rahimnya.
Apabila surat tawaran ke UTM diterima, dia memberi surat
itu kepada ibunya dengan wajah yang muram. Amran rasa semakin bengang dan marah
mengenang dia tidak dapat ke Oxford dan kini merindui Albert yang sudah pulang
ke England. Lantas itu, sebagai tanda protest, pada hari pendaftaran, Amran
telah keluar rumah tanpa memberitahu ibunya. Mungkin dia ada niat untuk lari,
mendapatkan tiket kapalterbang dan terbank ke England. Dia boleh sahaja
mengunakan kad kredit yang ayahnya beri untuk digunakan semasa kecemasan. Nanti
di sana, pandailah dia untuk hidup. Tetapi dipagi itu, setelah dia bersiap
sedia, dia menjenguk ibunya yang sedang solat subuh, dan hatinya terdetik.
Tiba-tiba dia jadi sedih dan sayu. Tetapi, impiannya harus diteruskan. Dia
keluar juga perlahan-lahan disubuh sunyi itu, dan mendapatkan teksi untuk ke
lapangan terbang.
Separuh, jalan dia menangis, dan menyuruh pemandu teksi
mengubah haluan ke Jalan Gurney, Kampus UTM.
Hari itu adalah hari dia dan Khairil dijodohkan untuk
bertemu.
Dato’ Majid dan Datin Suraya, entah bagaimana telah dapat
mengesan Amran. Ketika itu, dia baru sahaja habis mendaftar dan sedang menuju
ke bilik asrama.
“Amran,” tiba-tiba suara Dato’ Majid perlahan dari
belakangnya.
Amran berpusing dan untuk seketika berasa panik dan takut
akan apa yang bapanya akan lakukan.
Majid menangkap tangan Amran dan menarik Amran ke masuk
ke satu sudut dibawah tangga dimana ibunya sedang duduk di sebuah bangku plastik.
“Apa kau buat ni,” tanya Majid perlahan tapi tegas. Jelas
kemarahannya. “Aku kena kansel meeting, sebab nak cari kau. Apa halnya,”
Amran hanya diam. Majid terasa hendak menampar muka
Amran.
“Amran,” kata Suraya lembut. “Mama tahu, Amran marah sebab
tak dapat pergi Oxford, jumpa Albert.”
Amran mengeluh. “Sudahlah, Ma. I am here. Dah register
dah.... Ni nak pergi check out my room... And, Daddy, you can go back to your
meeting.”
Comments
Post a Comment