Bab 7: 1 Ramadhan 1432 - Ramadhan yang Hilang
Jam di dinding bilik mesyuarat ibupejabat Jana Power Sdn
Bhd menunjukkan 4.16 petang.
Khairil rasanya tak mampu lagi menahan kelopak atas
matanya dari jatuh. Amran, CEO Jana
Power Sdn Bhd, sedang membebel tentang kesilapan yang dia sendiri terjumpa di
dalam kertas cadangan yang bakal diserahkan kepada Unit Perancang Ekonomi,
Jabatan Perdana Menteri. Tambahan pula
dihari pertama puasa ini. Sememang kebiasaan Khairil setiap Ramadhan tidak
tidur selepas bangun sahor pukul lima pagi.
Masalah Khairil ialah gastrik. Dia tak berani untuk makan terlalu awal.
Pernah dia pening dan muntah di pejabat ini pada Ramadhan yang lepas. Orang
semua panik dan Amran sendiri kejarkan dia ke Hospital. Suatu jasa baik yang hanya dapat dibalas oleh
Khairil dengan termuntah diatas kerusi kulit Mercedes S400 Amran yang masih
baru ketika itu. Tapi bau kulit dalam
kereta itu tidak lansung menolong Khairil menahan isi perutnya dari meledak
keluar.
Tiba-tiba Khairil terasa pehanya dicubit. Hampir dia
melatah mengadui.
“Hey…” bisik Vani yang duduk di sebelahnya. “Bangun…” Memang dalam setiap mesyuarat Vani
akan pastikan dia duduk di sebelah Khairil. Rakan-rakan sepejabat pun sudah
tahu sangat gelagat mereka berdua, walaupun kononnya perhubungan mereka rahsia.
Khairil Anwar bin Md. Ludin adalah antara pekerja-pekerja
perintis dalam Jana Power. Dia mula bekerja lebih kurang sebelas tahun yang
lalu, sebagai Jurutera Elektrik dan bekerja keras siang dan malam, hingga kini
dia merupa Ketua Pegawai Operasi (COO) untuk Jabatan Kejuruteraan, merupakan
orang kedua tertinggi dalam hairaki JPSB, di bawah Amran selaku CEO. Dialah orang kanan, dan sahabat baik
Amran. Amran sudah banyak melepaskan
tugas and kuasa pengurusan syarikat kepada Khairil, yang lebih dipercayai dari
saudara mara sendiri. Malah, kos membasuh kereta dari muntahan Khairil tahun
lepas ditanggung Amran sepenuhnya walaupun Khairil beberapa kali cuba membayar
balik.
Dedikasi dan komitmen Khairil begitu kuat kepada
syarikat. Sehingga kini, pada umur 34 tahun, Khairil masih tidak ada teman
wanita yang tetap dan bertahan lama. Seperti
Amran juga, Khairil sendiri tidak langsung
membuat apa-apa perancangan untuk berumahtangga, sehinggakan kedua mereka
sering dipanggil Dua Bujang Lapok oleh sahabat dan juga staf mereka.
Ini merisaukan kedua ibubapa Khairil. Teringin sungguh mereka menimang cucu, tetapi
apakan daya anak mereka hanya dua, Khairil dan adik perempuannya, pelajar tahun
dua di Universiti Pertanian Malaysia dam bidang perubatan.
Khairil mendapati kebanyakan perempuan tidak mencapai
piwaian yang dia tetapkan. Kesemua bekas
teman wanitanya cantik-cantik dan bergaya, tetapi kekurangan dari segi
mentality mereka mengecewakan Khairil.
Khairil berasa lemas kalau bersama wanita yang langsung tidak tahu perkembangan
semasa melainkan gossip dunia hiburan dan begitu ghairah dengan kecantikan
diri. Ada juga beberapa orang perempuan
yang “intelligent”, tetapi mereka ini langsung tidak hiraukan paras rupa, itu
pun kalau ada rupa.
Khairil, sebagai seorang yang tidak suka berkompromi,
bertekad tidak akan berkahwin, selagi dia tidak menjumpai wanita sempurna
itu. Tekanan dari keluarga, sahabat
handai, saudara mara tidak dihiraukan. “Ini hidup aku…ikut suka aku,” itu
sahaja jawapan yang selalu diberi pada soalan, ‘bila nak kahwin?’
Lambat laun, tekanan pun berkurang, cuma ibubapanya masih
bertanya soalan yang sama sekali-sekala. Itu pun kerana jawapan di atas tidak
pernah digunakan-pakai dalam perbualan dengan ibubapanya.
“Jadi, aku nak korang betulkan semua kesilapan-kesilapan
bodoh yang tak sepatutnya ada ni sekarang juga. Esok pagi, first thing in the
morning, aku nak tengok benda ini atas meja aku, complete and with no mistakes.
Pagi Rabu, aku nak benda ni sampai ke EPU sebelum pukul 12 tengahari. Aku tak
kira korang nak berbuka, tidor, sahor kat ofis ni ke apa ke, aku tahu esok pagi
pukul 8.30 pagi benda ni siap! PAHAM?....” Amran menutup khutbahnya dengan
menghempas buku setebal 30 lebih mukasurat iaitu kertas cadangan mengambil alih
selenggaraan sebuah stesen janakuasa di Sabah, ke atas meja mesyuarat, dengan
dentuman yang kuat.
“OOOMakkau meletup!!!” tiba-tiba Rohani, Pengurus
Pentadbiran dan Sumber Manusia, menjerit. Teman sepejabat memanggilnya Kak Ani,
termasuklah Amran.
lima orang penghuni lain bilik mesyuarat iaitu, Amran,
Khairil, Vani (Eksekutif Pembangunan Perniagaan), Tan Pek Wai (Pengurus
Kewangan) dan Muthuvalen (Pengurus Kejuruteraan dan Pembinaan), tunduk menahan
gelak.
“Tengok…aku membebel depan ni, sampai kering air liur,
Kak Ani baik punya tidoq….” Jerkah Amran, walaupun jelas dia sedang menahan
dari ketawa.
“Sori boss, puasala boss.” Jawab Rohani malu.
“Abis, kau ingat aku tak puasa…Hilang pahala puasa aku
koranglah punya pasal…” sambung Amran.
“Dah, gi buat kerja… Astaghfirullahal’aziiim… apa lah nasib aku dapat staf
macam korang ni,” Amran terus berpusing
dan keluar dari bilik mesyuarat itu.
Sebaik sahaja pintu bilik itu rapat, bilik itu meledak
dengan ketawa Vani, Chan dan Muthu.
Khairil hanya tersenyum, separuh terhibur dan separuh kasihankan Kak
Ani.
“Kau orang ni, teruk betul. Cover la aku…,” kata Kak Ani.
“Mana sempat, kak. Saya pun terkejut… Saya mana tau kak
terlelap.” Jawab Muthu yang duduk paling dekat dengan Kak Ani.
“Sudahlah. Malu aku dengan boss. Aku nak balik lah,”
rajuk kak Ani, sambil mengumpul kertas di atas meja dan bangun untuk keluar
dari bilik mensyuarat.
“Aya Ani, mana boleh balik. Boss suruh tidor sini, makan
sini. Dia mau itu paper kasi betul. No mistake one,” Pek Wai juga sedang
mengemas nota, alatulis dan kalkulatornya.
“Ah Pek ahhh, I punya part no problem. Yang banyak
problem you punya, Vani dengan Muthu. Kau bertiga tido sini malam ni. Lagi pun
korang bukan puasa pun. Aku nak balik, nak pegi bazaar Ramadhan dengan laki
aku… jangan marah…tata titi tutu...,” Kak Ani berkata sambil berjalan keluar
pintu dan melambai selamat tinggal pada yang masih di dalam.
Pek Wai, Muthu, Vani dan Khairil hanya tersengeh melihat
gelagat Kak Ani.
Kak Ani memang becok. Suka berseloroh. Tapi, kalau dia
marah, kata-katanya tajam dan pedas.
Sebagai Pengurus Sumber Manusia, Kak Ani mudah mesra tapi ada juga yang
membencinya. Tetapi dia tahu, sebagai
pengurus sumber manusia dan antara pekerja paling lama dalam syarikat, dia tak
akan menang dalam meraih undian populariti. Namun pada keseluruhannya, dia
pandai mengimbang kerja dengan soal peribadi. Kalau pun dia baik dengan semua
orang, tapi dia tegas menjalankan tugas mengikut polisi dan prosedur syarikat.
Muthuvalen, juga orang lama. Dia sendiri tidak pernah
kerja di tempat lain. Syarikat ini
adalah majikan Muthu yang pertama, dan diharapnya juga yang terakhir. Walau
seorang graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik dan University Teknologi
Malaysia, dia sanggup menerima kerja sebagai Penyelia Tapak Pembinaan, demi
untuk menimba pengalaman. Lagipun, dia tak punya banyak pilihan. Hampir sepuluh
tahun lalu. pada masa Negara sedang bergelut dengan krisis ekonomi serantau,
dia bertekad menerima tawaran kerja yang pertama dari sesiapa pun. Kini, berkat kegigihan dan dedikasinya, dia
menyandang tugas antara yang terpenting dalam syarikat.
Vanida Alaina binti Faisal Bernhardt adalah gadis kacukan
Melayu German yang mula diterima bekerja di Jana Power Sdn Bhd baru lebih
kurang enam bulan lepas. Dia tidak
melalui process pengambilan pekerja seperti pekerja-pekerja lain. Resumenya diajukan kepada Kak Ani dengan nota
dari Amran selaku CEO yang menyatakan bahawa Vani akan mula bekerja pada awal
bulan Februari tahun ini. Seorang gadis
misteri yang tak ramai tahu asal usulnya.
Dia sendiri tidak pernah bergaul dengan pekerja-pekerja lain, melainkan
Amran dan Khairil. Gayanya yang elegan
dan cara percakapannya yang menggambarkan tahap ilmu pengetahuan dan mentality
seorang yang begitu arif dalam bidang korporat, agak menyukarkan untuk dia
mencampuri perkerja-pekerja lain dan begitu juga sebaliknya. Ada juga yang menuduhnya sombong dan bongkak
kerana caranya yang tiada berselindung.
Apa dia suka dan apa dia tak suka dinyatakan tanpa mengira perasaan
penerima teguran, baik ianya kritikan atau pujian. Memang tidak ramai rakan sekerja dan orang
bawahan yang menyukai Vani. Tapi
nilai-nilai tegas itulah yang dikagumi oleh Khairil.
Mr. Tan Pek Wai, atau Pak Tan (atau Ah Pek secara
ekslusif untuk Kak Ani), pula adalah bapa saudara Amran. Dia adalah adik kepada
ibu Amran, Puan Sri Suraya Tan Abdullah.
“Khairil, you teman I malam ni?” bisik manja Vani kepada
Khairil bila yang lain sudah keluar.
Kedua mereka sahaja melambat-melambatkan diri ketika mengemas kertas dan
fail di atas meja mesyuarat kerana inginkan seketika untuk bersendirian.
“I nak balik rumah, nak buka puasa kat rumah lah...”
seloroh Khairil. Tidak ada apa dalam dunia ini akan boleh merenggangkan dia
dari Vani.
“Eleehh…macam ada bini,” cemek Vani.
“Oklaaa…you belanja I nasi kerabu untuk berbuka, set,” jawab
Khairil. Mereka keluar bersama dari bilik, walau tak berpegang tangan, terlalu
dekat hingga asyik terlanggar dan tersentuh bahu.
“Dah lah tu…bulan puasa ni, kurangkanlah sikit..,”
tiba-tiba Kak Ani menyergah dua merpati sejoli itu. Dia sedang menuju pintu
keluar, menggalas beg tangannya yang agak besar dibahu kanannya.
“Ai... Kak, belum time balik lah...” kata Vani.
“Apa pulak, dah empat setengah. Bulan puasa balik cepat. Aku yang buat
undang-undang ni, aku tau lahhh. Khairil, kau pun balik, solat terawikh malam
ni,” Kata Kak Ani. Bagi yang tak biasa, kata-kata ini sangat pedas. Tetapi,
Khairil hanya tersenyum.
“ Iya lah kaaak…nak bailik lah ni.” balas Khairil.
“Tah apa-apa...” bisik Vani, sambil berjalan pantas
menuju cubiclenya. Vani tidak suka ditegur.
Apabila Kak Ani hilang dari pandangan Khairil,
meninggalkan bunyi tumit kasut yang bergema bila Kak Ani menuruni tangga pejabat
Syarikat Jana Power Sdn Bhd, Khairil mengeluh dan berjalan perlahan menuju
tempat Vani. Dilihatnya Vani dengan muka
yang serious begitu menumpu perhatian kepada skrin komputernya.
“Relak laaa,” Kata Khairil lembut memujuk. “Bukan tak
biasa dengan Kak Ani tu. Mulut dia memang laser.”
Vani hanya diam dan terus menumpukan perhatian pada skrin
yang menayangkan beberapa graf yang menggambarkan ramalan peningkatan
keuntungan JPSB bagi lima tahun akan datang.
“Vani…janganlah marah. Itu pun nak ambik hati… relak laah,”
terus Khairil lagi. Vani masih meneruskan telahan pada skrin koputer itu,
sambil sesekali menekan kekunci ke atas dan ke bawah melihat beberapa graf
lain.
Khairil memandang kiri kanan lagi. Kemudian dia mencapai
tangan Vani yang memegang tetikus, meramas jari Vani lembut.
“Come on… you marah Kak Ani I lak jadi mangsa,”
Akhirnya, Vani memandang kearah wajah Khairil, tapi masih
serious. “You nak balik, gi lah… biar I duduk kat ofis ni malam-malam dengan
Muthu,” Kata Vani. Dia tunduk semula dan memandang skrin computer. Tapi
tanganya dibiarkan diusap lembut oleh Khairil.
“Janganlah gitu… Kata nak belanja I nasi kerabu…,” kata
Khairil meneruskan nada romantisnya.
“Hah…Aku pun nak nasi kerabu, belikan aku sekali. Kau ni
Khairil, sekarang pun dah boleh buka, aku ingat pahala puasa kau dah negatif,” tiba-tiba
terjah Amran dari belakang Khairil.
Kedua Vani dan Khairil terperanjat dan tangan mereka terlerai dengan
pantasnya.
“Ginilah Khairil, kau aje pegi bazaar Ramadhan, beli nasi
kerabu tiga, lepas tu kita buka sama-sama kat bilik aku. Kang kalau kau berdua
pegi, lepas Isyak pun tak balik ofis. Proposal aku ni terbengkalai,” Amran
mengusulkan rancangan buka puasa untuk hari itu.
“Suruhlah si Azmi drebar kau,” bantah Khairil. Dalam
hatinya menyesali melepaskan tangan Vani dengan terpaksa.
“Aku dah tersuruh dia baliklah, dia tu ada anak
bini. Kau buat apa pun. Kacau Vani aje.”
“Oklah boss, air apa?” Tanya Khairil.
“Aku biasala teh tarik…Vani?” Amran bertanya Vani.
“Tak nak…” Jawab Vani. Matanya memandang lembut kepada
Khairil.
Khairil mengundur diri, sambil mengenyit mata kepada
Vani.
Amran menggeleng kepala dan terus masuk semula ke
kamarnya.
Vani adalah cinta pertama buat Khairil. Cinta pertama, dan
tiada yang lebih syahdu dari percintaan dia dengan Vani. Pencariannya untuk wanita sempurna yang pada
suatu ketika dia begitu pasti tidak akan ada penghujungnya, terhenti di
pelabuhan yang bayu lembutnya adalah rambut Vani, deruan ombaknya adalah nafas
Vani dan pasir halus lembut adalah tubuh Vani.
Tiap kali Khairil memandang ke dalam mata Vani, terasa dirinya ditarik ke
arah dua kolam yang airnya tenang, aman dan memukau dan tiada lain lagi yang
wujud didalam dunia ini, melainkan keindahan itu. Didalam dunia fantasi Khairil, tiada madu
akan dapat menandingi kemanisan bibir Vani yang merah pudar.
Tetapi yang paling memikat Khairil adalah ketangkasan
minda Vani. Dia beberapa kali terpegun
dengan bicara Vani dalam rundingan-rundingan perniagaan samada dengan tauke
pembekal barang binaan atau pun menteri. Dia pandai mencari kelemahan lawan dan
menekspoitasi kelemahan itu tanpa disedari oleh mangsanya. Tetapi dia tidak suka melebih-lebih, atau
mengada-ngada. Tiap jemputan keluar atau
buah tangan, baik dari tauke ataupun menteri, ditolak dengan sopan dan
santun. Bagi orang yang berdegil dan
tidak putus asa, Vani juga tidak jenuh memberi alasan demi alasan demi alasan
sehingga mereka sendiri naik bosan tanpa menaruh dendam pada Vani.
Sejak Vani mula bekerja di Jana Power Sdn Bhd, memang
ramai yang terpikat. Tapi, Khairil dengan cepatnya memastikan semua orang tahu
Vani adalah sasarannya, maka orang lain tolong jangan kacau. Cinta antara
mereka cepat mekar dan menjadi buah mulut semua warga Jana Power. Ada yang
menyampah, ada yang cemburu. Tapi, yang pastinya Khairil tidak pernah
membenarkan perasaannya mengganggu kerja. Pernah juga dia bertegang leher
dengan Vani dalam mesyuarat, tetapi, keduanya tidak pernah membawa perbahasan
dalam perniagaan keluar dari bilik mesyuarat. Malahan, selalunya mereka akan
ketawa mengenangkan apa yang mereka gaduhkan dalam mesyuarat.
Pada Khairil, Ramadhan kali ini lain dari yang
sebelumnya. Dalam musim-musim puasa yang lalu, Khairil hampir setiap hujung
minggu pulang ke kampung. Dia sangat suka berbuka bersama ayah, ibu dan adik
perempuannya (kalau dia balik dari kolej) dan kemudian bersiap untuk menunaikan
Tarawikh di masjid. Selalunya dia akan pulang selepas terawikh malam Sabtu, dan
akan sampai ke Parit Pelampung lebih kurang tengah malam. Ayahnya, Haji Ludin,
selalunya, akan menunggu kepulangan anak sulong ini, tetapi selalunya Khairil
yang mengejutkan Haji Ludin yang tertidur di sofa ruang tamu dengan televisyen
menayangkan perlawanan gusti.
Ramadhan kali ini, Khairil langsung tidak pulang. Dia
sibuk dengan tender projek besar di Sabah. Itulah alasan yang diberikan kepada
ayah dan ibunya, yang memahami dan memberi perangsang untuk Khairil bekerja
sepenuh hati.
Ramadhan kali ini, Khairil baru tahu betapa syahdu
mencinta dan dicintai. Khairil sudah bercadang, Hari Raya nanti, dia akan balik
ke kampung dan meminta Haji Ludin dan Hajjah Salehah datang ke rumah Vani di
Petaling Jaya untuk meminang satu-satunya perempuan yang benar-benar telah
mencuri hatinya.
Comments
Post a Comment