Bab 3: 13 Rajab 1438 - Janji Temu dengan Dato’ Amran (Bahagian 1).

Seronok betul balik kampung. Kalau tidak kerana temujanji ini, Khairil hampir sahaja ingin mengambil “cuti kecemasan” Isnin ini kerana dia rasa tidak puas melihat betapa gembiranya Siti Mahani teruja dengan suasana kampung, betapa seronok dia mengejar ayam dan itik, bermain dengan kucing dan, yang paling seronok, bila mereka pergi ke Hutan Lipur Gunung Ledang untuk bermandi-manda di sungai dan air terjun.

Khairil menarik nafas panjang sebaik dia berhenti di hadapan banglo Dato’ Amran, sebelum keluar dari kereta.

Khairil mengintai dicelah kerawang pintu pagar besi.  Tangan kirinya mencapai punat loceng.  Dia berdiri sebentar menanti reaksi dari perbuatannya tadi.  Tiba-tiba, satu suara menyapanya dari tembok sebelah kiri.  Suara perempuan bertanya, “ Siapa?”
“Khairil Anwar, nak jumpa Dato’ Amran.” Jawab Khairil pada tembok. Dan tembok itu membisu seketika.

Pintu pagar berdetak dan mula terbuka, menyentak Khairil yang pantas melangkah kebelakang, mengelak pintu yang membuka tanpa menghiraukan dirinya.

Sebaik saja dirasakan ruang yang terbuka itu cukup besar untuk dibolosi tubuhnya, Khairil melangkah masuk melewati pintu pagar besi itu, menuju pintu kayu yang berpanel kaca bujur berwarna-warni, di hiasi indah dengan kalimah syahadah.

Di sebelah dalam kelihatan bayang-bayang mendekati pintu yang lantas terbuka.  Seorang wanita berkulit hitam manis berambut pendek memakai kemeja T dan seluar panjang menyambut Khairil.

“Jemput masuk Encik,” kata perempuan itu. Tidak ada telo atau loghat yang dapat didengar oleh Khairil, tapi Khairil tahu benar yang perempuan itu berbangsa Indonesia.  Khairul mengekori perempuan Indonesia itu masuk ke ruang tamu.

“Duduk dulu Encik, Dato’ nanti akan turun,” kata wanita itu.  “Encik nak minum apa?” tambahnya lagi.

“Tak payah, terimakasih,” Jawab Khairil.

Khairil tak mahu duduk.  Dia menghampiri pintu kaca yang menghadap laman rumah bungalow besar ini. Terlihat oleh Khairil seorang anak lelaki berumur dalam linkungan 4 tahun, sedang berlari mengheret sebatang lidi yang hujungnya diikat secebis surat khabar.  Seekor kucing siam sedang mengejar dan cuba menangkap cebisan kertas itu.  Anak itu berlari sambil ketawa, dan kucing itu tidak putus asa sehingga, tiba-tiba anak itu terjatuh dan terlepas lidinya. Anak itu tidak menangis, malah bangun dan lari semula, dan ketawa.

“Macam mak dia, tak tahu duduk diam,” tiba-tiba satu suara datang dari belakang Khairil, mengganggu lamunannya.  Khairil berpusing kebelakang, dan terus menghulur tangan. Berdiri di belakangnya, seorang lelaki segak, berkulit cerah dengan ciri-ciri orang asia tengah walaupun ibunya berbangsa Cina berasal dari Ipoh, Perak dan bapanya berasal dari Machang, Kelantan. Walau ada kesan tumbuhan rambut, dia memastikan kepalanya bercukur setiap hari, semenjak pulang dari melakukan umrah dan ziarah, tahun lepas.  Lagipun, kalau dibiar panjang, rambut yang hanya melitupi sebelah belakang kepalanya akan lebih menjelikkan. 

Dato’ Mohamed Amran bin Tan Sri Abdul Majid, sama tinggi dengan Khairil.  Bahu dan dadanya yang bidang memberi ketrampilan yang segak, biarpun perutnya sudah mula memboroi terlihat menongkat kemeja-t berkolarnya. Dia sudah bersara dari dunia korporat sejak sebulan lalu, setelah menyambut harijadinya yang ke 40.  Pendapatan dari dividen pelaburan dan upah menduduki lembaga pengarah beberapa syarikat (sebagai pengarah bukan eksekutif) sangat mencukupi menyara gaya hidupnya sekarang ini.  Kini dia lebih menumpukan sepenuh perhatian kepada memenuhi bekalan ke Akhirat.  Kerana itu dia turun menyambut tetamu ini hanya berpakaian kemeja t dan kain pelikat.

“Asalamualaikum, Dato’. Sihat?” kata Khairil.

“Wa’alaikumsalam, Alhamdulillah sihat. Kau macam mana. Apa yang terbaru?” Tanya Dato’ Amran, sambil tangannya mengisyaratkan jemputan untuk Khairil duduk.

“Tak ada yang terbaru, cerita lamalah juga.”

“Project Bank Negara tu dah start ke?”

“Dah hantar beberapa proposal ke MOF, tengah tunggu feedback.”

“Hmm…” jawapan Amran.

Perbualan terhenti sementara. Khairil tahu dan Dato’ Amran juga sedar yang Khairil tahu yang Khairil dijemput ke banglow ini bukan untuk sembang kosong. 

Dalam keadaan terdiam ini, pandangan Khairil sekali lagi ditarik keluar tingkap kaca tadi, mengekori anak kecil, yang kini sudah tidak berlari lagi, tapi duduk di atas rumput membelai kucing yang tadi belari mengejarnya, di atas riba.

“So, apa yang Vani nak?” tanya Amran.  Khairil tersenyum, tetapi terus berdiam kerana dia tahu soalan itu hanya retorik. Dia lansung tidak hairan yang Dato’ Amran mengetahui akan perjumpaan dia dengan Vani. Malah, lebih hairan lagi jika Dato’ Amran tidak tahu.

“Kau ingat bila last sekali kau datang sini,” sambung Amran.

“Too long ago, Dato’. Tak ingat...banyak kali...masa tu pun sini la ‘port’ kita,” jawab Khairil.  Hatinya masih tertanya-tanya apa kehendak Amran sebenarnya.

“Alaaaa, janganlaa kau nak berdato-dato dengan aku,” kata Amran.  Ada nada sedih dan terharu pada suaranya yang jelas menunjukkan dia tersinggung oleh panggilan “dato’ ” dari Khairil.

“Aku tak boleh lupa the first time kau datang,” sambung Amran. “Masa tu mak bapak aku tak de, kita lepak sini, tengok blu film sampai meluat, lepas tu gi makan kat kampung baru, malam buta kacau bapok... Kau ingat?” kata Amran sambil ketawa mengenang ketika mereka berdua belajar di Universiti Teknologi Malaysia.

Khairil juga tak dapat menahan untuk terbahak ketawa mengenang kejahilan mereka ketika itu.  Pengalaman-pengalam ini walaupun menyeronokkan, tapi ia bukanlah sesuatu yang akan dikongsi dengan anak atau isterinya.

“Aku yang paling aku tak boleh lupa, masa kita kena tahan polis,” tambah Khairil.

Dan, Amran semakin besar gelaknya. “Kau punya pasal laa,” Kata Amran

“Abis tu, kau lah bawak kereta terhoyong hanyang kat jalan TAR. Dah polis tu ingat kau mabuk,” kata Khairil.

“Jalan clear gila. Kan masa tu, Chinese New Year... Lepas tu dia ingat aku Cina. Siap cakap dengan aku telo Cina... hahaha...,”  Amran ketawa tak henti.

Beberapa ketika, kedua-duanya ketawa bersama, bagaikan dua sahabat yang erat.  Kemudian, mereka berdua terdiam sebentar dan Khairil terdengar Dato’ Amran beristighfar.

“Macamana kita boleh survive jadi macam ni hari ni, Dato’… Errr Ran”  kata Khairil selepas dia dapat mengawal dirinya semula. “So Dato’...err...Why am I here?” Tanya Khairil lagi, mengharapkan Amran akan menjawab kesangsian dalam fikirannya.  Mungkin dia bunyi seolah-olah kurang sopan, tetapi, dia tersangat ingin tahu tujuan dia melewati pintu pagar mahligai ini, yang kali akhir dia di sini entah berapa puluh tahun lalu. Tetapi ketika itu, banglow ini dalam bentuk asal, sebelum Dato’Amran membuat ubah suai mengikut seleranya.

“Aku mula-mula sekali nak mintak maaf dengan kau, Ril. Aku nak minta kau ampunkan aku atas semua yang berlaku antara kau, aku dan Vani.  Ini semua salah aku. Aku... aku mintak maaf.”

Khairil tidak menjawab. Dahinya berkerut. Mereka berdua terdiam seketika.  Amran memandang ke Khairil menanti jawaban atau caci maki yang dia rasa memang sepatutnya dia terima, tetapi Khairil hanya diam dan pandangannya masih tertumpu ke luar rumah, mengamati anak kecil yang masih bermain di luar.

“Entahlah, Ran,” Khairil mengeluh.  “Aku pun dah lama tak memikirkan tentang sejarah kita. Tapi, aku rasa aku lebih salahkan Vani dari kau. Sebab dia perempuan dan dia isteri aku masa tu.”

“Ginilah, Ril, biar aku cerita apa sebenarnya yang berlaku.”

Comments