Bab 2: 11 Rajab 1438 - Hujung Minggu Di Kampung Dato’ Ahmad, Parit Pelampong, Muar
“Eh! Orang KL rupanya!!” kata-kata pertama dari mulut Salehah
sebaik sahaja pintu dibuka, menampilkan Khairil, Nurul dan Siti Mahani.
“Assalamu’alaikum,” kata Khairil, sambil membongkok
mencium tangan Salehah. “Apa khabar, mak.”
Nurul dan Siti mengikut kemudian.
“Wa’alaikum salam... Waaah….. lawanya cucu nek ni hari
ni…baju baru ke ni?” Salehah membongkok dan mendakap Siti seerat-eratnya,
melepas dendam pada cucunya yang comel yang baru 3 setengah tahun itu.
Tiba-tiba telefon bimbit Khairil berbunyi. Dia terus meraba-raba kocek seluarnya. Nurul memerhati gelagatnya dengan
serius. Bila Khairil menjumpai
telefonnya di kocek sebelah kanan, dia memerhati nombor yang tertera pada skrin
telefon itu dan mencemek sambil melirik ke Nurul.
“Dia ke?” tanya Nurul.
Khairil mengangguk kecil, dia menekan butang untuk membisukan telefon
itu. Nurul mengeluh dan tiba-tiba terperasan yang Salehah sedang memerhatikan
dia dan Khairil berdua. Lalu terus Nurul
tersenyum pada Salehah.
“Awek lama, mak... laku lagi orang tua ni, kena jaga-jaga
sekarang ni,” Nurul berseloroh. “Mak, tengah buat apa tadi?” tanya Nurul,
mengubah topik perbualan. Sebagai
seorang peguam Nurul memang cekap dalam hal-hal perubahan topik untuk mengalih
tumpuan. “Jom sayang, kita selongkar
dapur nenek,” dia memimpin Siti sambil berjalan terus menuju dapur rumah limas
yang usang tapi masih teguh itu.
“Tengah menggoreng ikan,” kata Salehah mengekor anak
menantu dan cucunya ke dapur.
Khairil mengumpul beg-beg di kakinya dan melangkah
masuk. Dia tercegat sebentar di muka
pintu sambil menarik nafas panjang. Bau
ikan masin goreng yang memenuhi ruang makan, bersulam dengan bau kayu-kayu
usang dari dinding dapur, dengan kokokan ayam jantan dari kejauhan,
membangkitkan ingatannya ketika membesar di rumah ini. Dia tersenyum sendiri sambil terus naik ke
ruang atas, menuju bilik tidurnya.
Dia tidak merancang untuk balik kampung. Tetapi, entah
mengapa, dia tiba-tiba rasa nostalgia. Mungkin pertemuan rahsianya beberapa
hari lepas, ada memberi kesan pada dirinya. Menyingkap rasa dan rahsia silam,
yang dia cuba pendam. Mungkin dia pulang
untuk meyakinkan dirinya yang lepas itu sudah berlalu, keampunan telah diberi
dan seharusnya dia teruskan hidupnya dengan Nurul dan Siti Mahani.
“Abah mana, mak?”
jerit Khairil.
“Masjid,” Jawab Saleha.
“Awal lagi dah pergi?” tanya Khairil.
“Ada mesyuarat jawatankuasa. Bapak kau tu kan orang
penting. Asyik melepak kat masjid aje.”
Khairil tersenyum mendengar keluhan ibunya. Khairul
meletakkan beg-begnya ke lantai bilik tamu. Bilik tamu ini sebenarnya adalah
bilik Khairul semasa dia membesar sehinggalah dia habis belajar di Universiti.
Tidak banyak perubahan dari semasa dia menghuni bilik ini.
Khairil turun semula ke dapur. Nurul, sudah pun menyinsing tangan baju
kurung suteranya dan mengambil posisi di meja dapur, sedang memotong kacang
panjang. Tudungnya pun sudah tersangkut
di belakang kerusi yang didudukinya.
Siti duduk di sebelahnya dengan pisau sapuan mentega menenyeh sekerat
kacang panjang. Khairil bersandar di
jenang pintu, memerhati isterinya dan anak sulongnya. Ibunya sedang mengacau seperiuk asam pedas
yang baunya meliurkan Khairil.
“Mak ni macam tau-tau aje kita nak balik. Siap masak asam pedas,” Khairil menjenguk di atas dapur, menyedut
nafas sedalamnya menghirup aroma dari dalam periuk.
“Abah kau beli ikan parang semalam, suruh aku buat asam
pedas ni. Abah kau tu kan kuat
firasatnya, tau bila kau nak balik ke, tak balik ke,” kata Salehah dengan niat
bersenda, tapi Khairil terasa pedih dengan kata-kata itu.
“Mak, saya nak ‘surprise’, abah lah…saya nak solat kat
masjidlah” kata Khairil.
“Haaaa…bagus gak tu,” jawab Salehah, “abah kau tu, kalau
tak di jemput balik dia leka berborak sampai Asar baru teringat nak makan.”
“Okaylah mak. Nurul saya pergi dulu.” Khairil menyapa
Nurul yang sedang mencuci kuali yang akan digunakan untuk menggoreng kacang
panjang tadi.
“Okay, lepas sembahyang balik tau. Jangan abang pulak yang tersangkut dengan
abah kat surau tu,” jawab Nurul tersenyum.
Untuk sesaat yang panjang, hati Khairil kembang memandang
wajah ayu Nurul. Dalam saat itu, hatinya
berdetak, betapa beruntung dirinya mendapat Nurul sebagai isteri. Rasanya ingin saja dia mendakap isterinya
itu. Kerana ada gundah dihatinya,
seolah-olah dihari-hari berikut, perasaan cinta dan kasih saying ini akan
teruji dengan ujian yang sangat dahsyat.
Khairil melambai kepada Siti Mahani dan berlalu.
Sebaik sahaja Khairil dirasakan jauh dari pendengaran,
Salehah segera bertanya Nurul berkenaan panggilan telefon sebentar tadi.
“Entahlah mak.
Tiba-tiba perempuan tu menelefon dia, ajak jumpa,” nyata Nurul. Berat sungguh mulutnya hendak membuka cerita
yang menyakit hatinya. Dia berhenti menghiris kacang panjang dan bangun untuk
mengambil kuali untuk menumis.
“Si Vanida tu ke? Apa dia nak?” korek Salehah.
Nurul terdiam sebentar.
Dia meletak kuali ke atas dapur dan menyalakan api dan menuang minyak ke
dalamnya.
“Ha’ah... Entahlah, Mak. Abang Khairil kata dia cerita
kat Abang Khairil apa sebenarnya berlaku masa diorang bercerai. Tiba-tiba aje
tak memasal,” Nurul berkata dengan nada marah.
Dengan perlahan dia melabuhkan punggungnya ke kerusi tempat dia duduk
memotong sayur tadi. Siti masih khayal
menenyeh pisau tumpul ke atas sepotong kacang panjang yang semakin hancur.
“Nak rujuk balik, kot? Bior betul, Nurul... Heiii... Tak
betul lah budak tu... Dah dekat lima tahun baru nak rujuk?” Salehah berkata.
“Apa yang berlaku, mak, sebenarnya? Saya ni
sebenarnya tak tau cerita pun, mak. Abang Khairil tak pernah cerita pun. Kalau
saya tanya, dia buat tak tau, atau kena silap hari, dijerkahnya kita.”
“Iyelah, memang dia sensitif sikit kalau tanya pasal
perkahwinan dulu tu. Dia tak suka kita
sebut-sebut kisah tu. Tapi apahal pulak
si Vanida ni telefon Khairil? Kan dia
dah kahwin dengan Dato’ Amran?! Ada anak
satu dengarnya.” Kata Salehah sambil tangan menunding dan bibirnya muncung ke
arah kuali. “Dah panas minyak kau tu.”
Nurul terus bingkas memasukkan bahan-bahan tumisan, dan
kemudian menggoreng hirisan kacang panjang.
Dia mencapai sebji pinggan dari rak berdekatan dan menceduk sayurnya,
meletakkan di atas meja dan duduk semula dan menarik nafas panjang dan
memandang keluar tingkap dapur.
“Toksah risau lah Nur.
Khairil takkan buat yang bukan-bukan.
Lagi pun dia sayang kau dengan Siti.
Dia sendiri cakap dengan mak dulu masa Siti baru lahir. Dia kata tak ada benda yang lebih mustahak
dalam hidupnya sekarang selain dari anak dan isteri dia.”
“Saya tau, mak. Tapi mak…Siti...” Nurul terhenti cuba
meneka reaksi ibu mertuanya kalau dia menyatakan cerita sebenar.
Salehah mengerut keningnya, hatinya risau tiba-tiba. “Apa dia Nur?”
“Siti bukan anak Khairil yang pertama, Mak…”
**************
Khairil menuruni anak tangga masjid sambil matanya
mengimbas lantai mencari selipar yang dia pakai dari rumah tadi. Dia sendiri sebenarnya kurang pasti selipar
mana yang dia sarongi di rumah tadi. Dia
terhenti di mata tangga yang terbawah sambil menggaru kepalanya yang tidak
gatal.
“Hah… hilang kasut ke?” Sapa Bilal Sidek. Tangannya dihulur untuk bersalam dengan
Khairil.
“Tak hilang… Lupa selipar mana yang saya sauk dari rumah
tadi.” Jawab Khairil menyambut tangan Bilal Sidek.
“Macam tu, kenalah tunggu orang semua balik,” seloroh
Bilal Sidek, tersengih menampakkan gigi yang puth bersih dan teratur, yang
Khairil syak adalah gigi palsu. “Bila kau balik? Lama cuti?”
“Cuti hujung minggu aje, besok baliklah.” Khairil membalas senyum.
“Ril! Jangan layan pak bilal ni, jom kita balik, kata
tadi mak kau suruh balik cepat, kau layan orang tua ni sampai besoklaa!” Haji
Ludin menepuk belakang Khairil dengan tangan kiri, tangan kanan memaut lengan
Khairil, mengheretnya jauh dari dari Bilal Sidek. Dia tidak langsung memandang pada Bilal Sidek
yang semakin lebar senyumnya.
“Eh… nanti Bah, selipar tak jumpa ni,” Khairil tak mau
berganjak lagi.
“La-ila-ha-il-Allah… selipar pun boleh kena kebas?” Haji
Ludin kehairanan.
“Haaa… itu la… dengan bilal nak menyombong, selipar pun
boleh hilang,” Bilal Sidek tergelak kecil.
“Bukan hilang, Bah.
Lupa selipar mana yang saya pakai dari rumah tadi,” kata Khairil sambil
menunduk meneruskan pencarian seliparnya.
“Ni hah... Selipar jepun aku ni,” Haji Ludin menunding ke
sepasang selipar Jepun berwarna hijau.
Khairil menyarungnya, berjabat lagi dengan Bilal Sidek,
mengucap salam dan terus ke kereta.
Bapanya pula masih berbual dengan Bilal Sidek.
Khairil menghidupkan enjin kereta, memasang pendingin
udara dan duduk di dalam kehangatan kereta yang terjemur hanya lebih kurang
setengah jam. Haji Ludin masih lagi
berbual dengan Bilal Sidek, tapi nampak serius.
Khairil mengetuk hon kereta, menarik perhatian bapanya.
“Bah, saya balik dulu,” teriak Khairil. Haji Ludin mengangkat tangan, setuju. “Bah… mak
suruh balik makan!” sambung Khairil, tersengih kerana dia tahu bapanya akan
disindir dek bilal kerana Haji Ludin di “queen-control”.
Khairil terus memandu pulang ke rumah. Lapar betul perutnya. Dia sudah terbayang ikan parang berkuah asam
pedas, kacang panjang goreng Nurul dan ikan tenggiri asin. Ketika dia sampai ke rumah, Nurul sedang
menyuap makan kepada Siti di anjung.
Siti menunggang basikal roda tiga yang neneknya belikan pada raya yang
lalu, dan memang ditinggalkan di kampung untuk mengumpan cucunya supaya selalu
pulang.
“Abah mana?” tanya Nurul.
“Kejap lagi sampai, tengah berbual dengan Pak
Bilal.” Jawab Khairil.
“Abang, telefon abang off, ke?”
“Ha’ah, sembahyang tadi off, lupa nak on balik. Awak call ke?”
“Dato’ Amran cuba
telefon abang. Tak dapat, so dia telefon
saya. Nak jumpa abang hari Isnin, pukul 11 setengah pagi kat rumah dia.”
“Apa dia nak?” Khairil jadi haru.
“Entah, manalah saya tahu,” Nurul mengangkat bahu dan
terus menyuap nasi ke mulut Siti.
**************
Malam ini, Haji Ludin tidak ke Masjid seperti hampir
setiap hari yang dilakukan. Malam ini dia hendak bersembang dengan Khairil dan
Nurul dan melayan kerenah satu-satu cucunya, Siti Mahani.
Haji Ludin yang
memberi nama itu. Nama sempena ibunya sendiri, moyang kepada Siti Mahani.
“Khairiyah tak balik, Abah?” Nurul tanya, pembuka sembang
selepas dia meletakkan dulang berisi secangkir Teh O panas dan beberapa biji
cawan. Haji Ludin sedang tersandar di sofa antik yang Khairil belikan untuk
ibunya beberapa tahun lalu, sambil meriba Siti Mahani dan menyelak buku
bergambar mengenai dinasor.
“Tak, dia kan tengah buat Houseman dia. Payah nak jumpa.
Tapi, minggu lepas ada dia singgah kejap. Itu pun balik hari aje,” rungut Haji
Ludin.
Khairil juga duduk di ruang tamu rumah limas usang yang
dibina oleh bapa Haji Ludin hampir setengah abad yang lalu. Dia sedang menjawab
beberapa pesanan dalam telefonnya.
“Sudahlah tu, Bang. Asyik layan telefon aje. WHATSAPP
dengan girlfriend lah tu,” Nurul menghempas punggungnya disebelah Khairil,
menyelit diruang sempit kerusi set antik.
“Bukanlah. Ni tengah tinggal pesan kat bebudak ofis...
Kan, saya nak kena mengadap Dato’ Amran pepagi Senin. Patut ada meeting,” jawab
Khairil.
“Haa... apa dia nak, Si Amran tu?” tanya Haji Ludin.
“Tak tau lah, Bah. Saya mesej dia tak jawap. Dia kata
suruh datang aje,”
“Kau pun apa kena mengena dengan dia?” tanya Haji ludin
lagi, macam marah bunyinya.
“Memang takde kena mengena lagi. Tapi, partner firma
saya, Tan Sri Mustapha tu dengan ayah Dato’ kita ni kan member rapat. Kenalah
pergi kalau dah dipanggil,” kata Khairil sambil mengeluh.
“Si Vani pulak, apa dia nak dengan kau?” tiba-tiba Haji
Ludin menerjahkan soalan tanpa selindung.
Hajjah Salehah yang baru sahaja habis mengaji lepas solat
Isya’ tadi baru hendak melabuhkan punggungnya di sebelah Haji Ludin, terhenti
sebentar separuh jalan antara berdiri dengan duduk.
Khairil menelan air liur. Pandangannya hinggap di wajah
Nurul, kemudian ke Hajjah Salehah dan kemudian ke pada Haji Ludin. Akhirnya,
kepada wajah comel Siti Mahani. “Saya pun tak tahu, Bah.”
Mereka semua terdiam sebentar.
“Eh... Air ni sejuk dah. Ni petang tadi mak goreng kuih
keria. Abang punya favorite ni...Siti pun suka, kan Yang kan?” kata Nurul
meredakan ketegangan. Tapi, suasana malam itu sudah keroh.
“Saya letihlah, Abah, mak. Saya masuk tidor dululah. Esok
nak drive balik lagi.”
Khairil bangun dan terus menuju bilik tidur. Dia
terdengar ibunya memarahi Haji Ludin dalam nada berbisik. Tapi, dia memang
benar-benar letih. Sebaik kepalanya menyentuh bantal, terus sahaja dia
terlelap.
**************
Ludin berkahwin dengan Salehah pada hari Natal 1975.
Ketika itu dia baru sahaja habis pembelajarannya di Institut Kemahiran MARA
dan, walaupun masih mencari pekerjaan, dia telah berjaya memujuk ayah dan
ibunya untuk meminang Salehah, gadis idamannya yang dia kenali sejak di sekolah
rendah lagi. Kedua-dua ibubapa agak runsing memikirkan bagaimana Ludin akan
menampung hidup berumahtangga, sedang dia belum tentu pekerjaan.
Rezeki itu ketentuan Ilahi, selepas sahaja Ludin dan
Salehah ditunangkan, Ludin mendapat tawaran kerja dari Jabatan Kerja Raya, dan
memulakan tugas di ibupejabat JKR di Bandar Maharani, Muar.
Mungkin sebab
Ludin dan Salehah, kedua-duanya datang dari keluarga yang di kira kecil pada masa itu (Ludin adalah anak
ketiga dari lima orang adik beradik, sementara Salehah adalah anak bongsu dari
empat adik beradik), mereka dikurniakan dua cahaya mata sahaja. Yang pertama
lelaki yang mereka namakan Khairil Anwar dan yang kedua, anak perempuan diberi
nama Khairil Bariyah, tapi dia dikenali di rumah dan di kalangan sahabat handai
dan saudara mara sebagai Khairiyah.
Beza umur antara Khairil dan Khairiyah 10 tahun. Ludin
dan Salehah menerima takdir ini dan kedua anak mereka dibesarkan dengan sebaik
mungkin, mengimbang antara belaian kasih dan ketegasan mendidik.
Boleh dikatakan Khairil dan adiknya membesar dalam
keadaan mewah. Ludin sendiri murah rezekinya, hasil dari kerajinan dan dedikasi
di tempat kerja, dia bersara sebagai salah
seorang penolong pengarah di JKR daerah Muar.
Khairil dibesarkan di kampung Parit Pelampong, lebih
kurang 12 kilometer dari bandar Muar. Sebagai anak tunggal untuk 10 tahun
pertama hidupnya, Khairil boleh dikatakan anak manja yang sentiasa mendapat
perlindungan ibunya apabila bapanya marah. Memanjakan anak bukan lah falsafah
hidup Ludin, dan ini ditimbal balik oleh belaian ibunya yang, kalau boleh,
tidak mahu anaknya tercalar sedikit pun dalam menjalani hidup harian.
Keseimbangan ini membina karakter Khairil. Di Kampung Parit Pelampung,
dikalangan anak-anak kejiranan, Khairil seorang yang popular. Dialah yang
selalu diajak bermain, dialah yang selalu memberi dan diminta pandangan dan
dialah yang selalu dijadikan ketua dalam pasukan apa pun, dari pasukan bermain
polis sentri, hinggalah kepada kapten pasukan badminton kampung.
Anak-anak gadis juga ramai yang meminati Khairil dan
ramai juga ibu dan bapa menganggukkan kepala melihat sikap, perwatakan, kepimpinan
dan kesopanan Khairil, dan berhasrat akan Khairil, satu hari nanti, menjadi
anak menantu mereka.
Tetapi, tiada siapa yang sempurna. Khairil mempunyai ego
yang agak tinggi. Dia tidak berapa suka ditegur, dan dia agak susah memaafkan
orang yang telah menyalahinya. Malahan, dia selalunya tidak akan berbaik dengan
orang itu; dia telah memaafkan... tetapi dia tidak akan melupakan.
Di sekolah dia pelajar cemerlang. Khairil layak untuk ke
sekolah berasrama penuh, dan telah ditawarkan selepas tamat sekolah darjah 6,
tetapi ibunya, Salehah, tidak mahu dia pergi. Maka Khairil membesar di kampung,
hinggalah dia ditawarkan untuk ke Universiti Teknologi Malaysia, yang pada
ketika itu hanya mempunyai kampus di Jalan Gurney (kini Jalan Semarak) di Kuala
Lumpur, di situ dia ditakdirkan berjumpa rakan paling karibnya, Amran... kini
Dato’ Amran.
Comments
Post a Comment